Post Header
Atas sebab peningkatan langkah-langkah penjarakan sosial dan arahan penyekatan yang berkaitan dengan pandemik, kami telah menerima banyak soalan mengenai sama ada penggunaan Archive of Our Own - AO3 (Arkib Milik Kita) telah terjejas. Adakah trafik laman web meningkat apabila lebih ramai orang beralih ke hasil karya peminat sebagai sumber hiburan? Adakah pereka-pereka menerbitkan lebih banyak karya? Adakah orang ramai meninggalkan lebih banyak komen dalam usaha mengejar semangat kemasyarakatan? Sekilas pandang, nampaknya jawapan kepada soalan-soalan ini adalah ya!
Nombor-nombor
Kami telah menjejaki jumlah view laman harian sejak permulaan tahun, dan telah memperoleh sejumlah nombor dari pangkalan data kami mengenai jumlah karya, bab, komen, dan kudos yang ditambah secara harian pada tahun sebelumnya. Seperti biasa, kami sedang memerhati jumlah trafik laman web mingguan kami dan membandingkannya dengan tahun-tahun sebelumnya.
Anda boleh mendapatkan semua data yang sedia ada dalam lembaran hamparan ini:
📈 Statistik AO3 2020 di Google Sheets (dalam bahasa Inggeris)
Trafik harian
Carta: View laman harian untuk setiap bulan, dengan hari-hari seminggu disusun untuk menunjukkan corak trafik yang konsisten. Bentuk bukit mewakili hujung minggu, dengan lonjakan yang jelas pada hari Ahad, manakala bentuk lembah sepadan dengan pertengahan minggu.
Pada dasarnya, corak trafik kebiasaan kami iaitu lonjakan pada hari Ahad yang sibuk dan hari-hari dengan trafik yang kurang pada pertengahan minggu telah bertahan. Namun begitu, corak bukit dan lembah menunjukkan pendataran menjadi ombak-ombak kecil, memandangkan konsep hari minggu telah menjadi agak kabur bagi sesetengah orang. Trafik juga telah meningkat secara keseluruhan.
Malangnya, kita telah kehilangan sebahagian besar pengguna apabila AO3 tidak dapat diakses di negara China sekitar 29 Februari. Dalam carta tersebut, kejadian ini diwakilkan dengan garisan kuning jauh di bawah paras lonjakan bulan Januari dan Februari sepanjang dua minggu. Trafik meningkat kembali pada pertengahan Mac, ketika kebanyakan kawasan di AS dan tempat-tempat lain di dunia mula melaksanakan polisi penjarakan sosial (cth. menutup sekolah dan restoran dan membatalkan acara perhimpunan) dan mengeluarkan perintah duduk di rumah.
Isnin | Selasa | Rabu | Khamis | Jumaat | Sabtu | Ahad | |
---|---|---|---|---|---|---|---|
24 Feb - 01 Mac | 39.4 | 38.3 | 37.9 | 38.2 | 37.0 | 40.2 | 42.8 |
02 Mac - 08 Mac | 38.1 | 38.0 | 36.4 | 36.1 | 35.4 | 38.6 | 40.7 |
09 Mac - 15 Mac | 37.9 | 37.4 | 37.7 | 34.9 | 34.7 | 38.4 | 41.5 |
16 Mac - 22 Mac | 38.9 | 37.7 | 39.3 | 39.5 | 39.1 | 41.1 | 43.0 |
23 Mac - 29 Mac | 41.7 | 41.8 | 41.6 | 41.7 | 41.7 | 43.7 | 45.9 |
30 Mac - 05 Apr | 43.9 | 45.2 | 46.7 | 47.1 | 46.7 | 49.1 | 54.1 |
Komen dan kudos
Carta: Jumlah komen harian serta trafik mingguan dari 1 Mei, 2019 hingga 1 Mei, 2020. Jumlah komen membentuk garisan zig-zag (lebih banyak komen pada hujung minggu!) yang menaik secara mendadak pada pertengahan Mac. Jumlah view laman mingguan ditunjukkan melalui siri titik yang mengikut trend yang lebih kurang sama tetapi tidak mencapai ketinggian yang melampau pada penghujungnya.
Mengenai statistik trafik kami, kami tidak membezakan antara pengguna yang mengakses karya, hasil pencarian, atau papan pemuka seseorang, oleh itu kami tidak dapat membuat sebarang dakwaan terhadap amalan penggunaan hasil karya dengan nyata. Walau bagaimanapun, ia lebih selamat untuk mengandaikan bahawa peningkatan trafik bermaksud orang ramai sedang membaca, menonton dan mendengar lebih banyak hasil karya peminat (dan, berdasarkan catatan data, juga menerbitkan lebih banyak hasil karya mereka sendiri)!
Corak pemberian komen lebih senang untuk dijejaki, atas sebab kami boleh mengira jumlah komen baru yang ditinggalkan setiap hari. Menariknya, kenaikan jumlah komen secara mendadak yang bermula pada pertengahan Mac kelihatan mendahului peningkatan trafik laman web dalam tempoh yang sama: apabila trafik bulan April meningkat sebanyak 24% dari bulan Februari, komen-komen meningkat dengan mengagumkan sebanyak 42%!
Kudos pula tidak mengalami peningkatan yang serupa dengan komen-komen, walaupun ia seiring bersama peningkatan trafik, meningkat sebanyak 23% berbanding dengan bulan Februari. Pangkalan data kami kini mengandungi lebih daripada 685 juta kudos, dengan lebih lagi ruang untuk kudos yang baru ekoran perpindahan kudos terbaru kami.
Purata Karya Harian | Purata Bab Harian | Purata Komen Harian | Purata Kudos Harian | Purata View Laman Harian | |
---|---|---|---|---|---|
Januari | 3749 | 10233 | 71278 | 557248 | 39.0 juta |
Februari | 4237 | 11003 | 71016 | 567513 | 38.9 juta |
Mac | 3928 | 11535 | 76621 | 573369 | 39.8 juta |
April | 4551 | 13731 | 100916 | 697047 | 48.2 juta |
Perkembangan tahunan
Carta: Trafik laman AO3, yang diukur mengikut jumlah view laman mingguan, dibahagikan mengikut tahun bermula dengan tahun 2012. Trafik telah meningkat secara konsisten setiap tahun, bermakna setiap garisan bertitik baru bermula lebih tinggi dari tahun sebelumnya. Pada tahun 2020, corak beralun yang lazim tiba-tiba berubah pada pertengahan Mac, di mana titik-titik tersebut melonjak tinggi.
AO3 telah mencatatkan pertumbuhan yang konsisten tahun demi tahun, dari segi trafik laman web serta jumlah akaun, fandom dan hasil karya peminat. Kami kini mempunyai sekitar 2.5 juta pengguna berdaftar dan hampir 6 juta karya dalam lebih 36,700 fandom. Pada minggu terakhir April, kami mencatatkan 340 juta jumlah view laman.
Minggu pertama Jan | Minggu pertama Apr | Minggu pertama Jul | Minggu pertama Nov | |
---|---|---|---|---|
2012 | 16.7 | 20.3 | ||
2013 | 27.6 | 31.5 | 36.5 | 41.4 |
2014 | 49.5 | 53.6 | 62.2 | 66.0 |
2015 | 84.6 | 87.0 | 89.2 | 97.8 |
2016 | 119 | 128 | 132 | 128 |
2017 | 158 | 152 | 164 | 158 |
2018 | 189 | 180 | 188 | 179 |
2019 | 219 | 213 | 236 | 233 |
2020 | 281 | 331 |
Saban tahun, ada masanya di mana pelayan-pelayan kami tidak dapat menampung peningkatan penggunaan laman web kami, dan para penulis pengisian, penguji, dan penyelaras sistem bertungkus lumus untuk mengelakkan AO3 daripada mengalami kegagalan. (Sekali sekala, ia gagal untuk seketika.) Walaupun ia masih mencabar untuk menyelenggara laman sebesar AO3 bergantung dengan tenaga sukarela sahaja, mengetahui yang fandom akan menyumbang sokongan kepada kami dalam soal pembelian pelayan dan kerja kontrak menjadikannya lebih senang untuk kami merancang ke hadapan. Kami telah melangkah jauh daripada beberapa buah mesin yang pertama hinggalah 32 pelayan yang kini merangkumi setiap bahagian AO3.
Semestinya, semua perkakasan ini tidak bererti tanpa orang ramai yang menggunakan laman ini. Ia sangat mengharukan menyaksikan fandom berganding bahu dan bersama-sama mengharungi krisis dunia yang sedang berlaku sebagai komuniti maya artis, penulis, pasukan sorak, pembaca, pendengar, penanda laman, pencadang karya, dan lurkers. Kami amat berbangga kerana anda telah menjadikan AO3 rumah anda, dan kami mengucapkan terima kasih atas segala sokongan anda setiap tahun. ❤️
(Fail ini mencatatkan penggunaan laman sehingga bulan April 2020, dan tidak akan dikemaskini pada masa hadapan. Apa-apa catatan nombor baru mungkin akan dikongsikan dalam artikel yang akan datang.)
Oleh sebab pilihan carta Google adalah terhad, anda dipersilakan untuk menggunakan data ini untuk menghasilkan visualisasi anda sendiri yang menarik dan kongsikannya melalui komen!