AO3 News

Post Header

Published:
2017-10-14 18:13:59 UTC
Original:
Troubleshooting: Common Problems When Logging In
Tags:

Untuk tujuan peribadi, kami tidak dibenarkan memberi sebarang jawapan kepada soalan-soalan yang berkaitan dengan isu-isu log masuk dalam bentuk komen. Oleh itu, sila Hubungi Sokongan

Salah satu daripada masalah yang sering dikendali oleh kumpulan Sokongan adalah apabila para pengguna tidak boleh log masuk ke Archive of Our Own - AO3 (Arkib Milik Kita). Walaupun terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan hal tersebut berlaku, kami telah menyenaraikan beberapa faktor yang lazim termasuklah cara untuk menyelesaikannya.

Jika anda menghadapi masalah semasa log masuk ke AO3, anda boleh mencari penyelesaian bagi masalah tersebut di sini:

Sudahkah anda mengaktifkan akaun anda melalui pautan yang disertakan bersama dengan emel pengesahan pendaftaran?

Jika anda telah mendaftar ke AO3 dan mengalami masalah untuk log masuk, sila pastikan anda telah mengaktifkan akaun anda! Dalam masa 24 jam selepas mendaftar, anda sepatutnya telah menerima emel pengesahan pendaftaran daripada [email protected], yang meminta anda mengaktifkan akaun AO3 anda melalui pautan yang telah disertakan. Emel pengaktifan selalunya akan diterima selepas anda mendaftar, tetapi sesetengah laman emel boleh melengahkan penghantaran emel tersebut.

Selepas akaun anda diaktifkan, anda akan menerima emel pengesahan pengaktifan dari alamat emel yang sama: [email protected]. Kadangkala, emel-emel ini boleh termasuk dalam spam. Jadi, pastikan anda memeriksa semua emel anda! Jika anda tidak menerima emel pengaktifan akaun atau emel pengesahan pengaktifan, dan 24 jam telah berlalu sejak anda mendaftar, anda boleh menghubungi Sokongan supaya akaun anda dapat diaktifkan oleh admin.

Adakah anda ingin log masuk dengan ID pengguna (bukan alamat emel), dan adakah ia dieja dengan betul?

Anda hanya boleh log masuk menggunakan ID pengguna dan alamat emel pula tidak boleh digunakan. Jika anda terlupa ID pengguna anda, atau jika anda tidak pasti tentang ejaannya, anda boleh meminta supaya ID pengguna tersebut diemelkan kepada anda dengan meminta untuk menetapkan semula kata laluan di laman New Password (Tetapkan Semula Kata Laluan). Selain daripada kata laluan sementara, emel tersebut juga mengandungi ID pengguna yang dikaitkan dengan alamat emel yang diberi. ID pengguna ini telah ditanda dengan teks berwarna merah. Cara ini hanya akan berkesan jika alamat emel yang dikaitkan dengan akaun anda merupakan alamat emel yang terkini. Jadi, sila pastikan bahawa anda sentiasa memastikan bahawa maklumat akaun anda sentiasa dikemaskini!

Adakah pelayar anda atau pengurus kata laluan di pelayar anda memasukkan ID pengguna dan kata laluan anda secara automatik?

Jika anda menggunakan fungsi auto-complete atau pengurus kata laluan pelayar anda untuk log masuk ke AO3, ID pengguna dan kata laluan yang telah disimpan mungkin merupakan kombinasi yang salah. Untuk mengesahkannya, sila padam informasi log masuk yang telah diisi dan taip semula ID pengguna dan kata laluan secara manual. Sila sentiasa ingat untuk mengemaskini auto-complete atau pengurus kata laluan dengan kombinasi ID pengguna dan kata laluan yang betul untuk mengelakkan perkara ini daripada berlaku semula.

Sudahkah anda mencuba untuk memadam kuki pelayar anda?

Kadangkala, isu-isu log masuk boleh juga disebabkan oleh kuki yang mempunyai konfigurasi yang salah atau yang telah rosak. Isu-isu ini boleh menyebabkan kemunculan mesej ralat yang menyatakan bahawa kata laluan atau ID pengguna yang telah dimasukkan itu tidak sepadan dengan rekod kami, walaupun informasi tersebut betul, atau sesuatu keadaan di mana mesej log masuk yang berjaya dipaparkan, tetapi anda tidak log masuk.

Untuk memastikan bahawa penetapan kuki anda tidak menghalang anda daripada mengakses AO3, sila pastikan pelayar anda menerima kuki daripada AO3 dan padam semua kuki anda sebelum anda mengakses semula AO3. Arahan untuk menguruskan kuki berbeza mengikut pelayar dan versi pelayar tersebut. Anda boleh merujuk kepada arahan tersebut menggunakan pautan-pautan ini:

Sudahkah anda mematikan pelanjutan pelayar dan add-ons?

Kadangkala, pelanjutan pelayar dan add-ons boleh mengganggu proses log masuk. Untuk memastikan tetapan pelayar anda tidak menghalang anda daripada log masuk, sila matikan perisian tambahan yang berkaitan dengan mengikuti pautan-pautan ini.

Sudahkah anda mencuba untuk log masuk menggunakan pelayar atau peranti yang lain?

Jika anda berjaya untuk log masuk ke dalam AO3 menggunakan cara alternatif, masalah yang anda mengalami berkemungkinan besar disebabkan oleh pelayar atau peranti anda dan bukannya akaun anda. Sekiranya ini berlaku, kami menggalakkan anda untuk memaklumkannya kepada kami dengan menghubungi Sokongan, agar kami boleh melakukan siasatan lanjut. Sila sertakan maklumat tentang pelayar atau peranti yang anda telah gunakan, bersertakan dengan masalah yang dihadapi.

Adakah anda telah mencuba semua cara di atas dan masih tidak dapat log masuk?

Jika anda telah mencuba kesemua cara-cara di atas dan masih tidak dapat log masuk, sila gunakan borang ini untuk menghubungi terus Sokongan. Elakkan daripada berkongsi maklumat akaun anda di halaman ini kerana segala komen bukannya peribadi dan boleh diakses oleh sesiapa yang mengakses laman ini. Segala komen yang mengandungi apa jua maklumat akan dipadamkan.

Seperti biasa, sila sertakan seberapa banyak maklumat tentang perkara khusus masalah anda, seperti mesej ralat yang diterima dan konfigurasi pelayar/peranti anda, agar kami boleh menyelesaikan masalah tersebut dengan efektif. Sertakan juga cara-cara di atas yang telah anda cuba agar kami boleh menolak kemungkinan isu-isu tersebut!